Tuesday 28 August 2012

Kepentingan Ilmu Dalam Fotografi


Salam semua. Apa khabar? Rasanya masih belum terlewat untuk saya ucapakan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca blog ini. Bagaimana dengan Syawal anda? tentu meriah kan. Bagi saya pula, Syawal kali ini bergitu bermakna dengan kehadiran puteri sulong saya yang lahir seminggu sebelum Raya. Syukur. walaupun tak sempat buat persediaan raya (tak beli baju raya pun), kehadiran Ameera Raisya cukup membahagiakan.

Ok la, untuk enteri kali ini, saya ingin berkongsi sedikit dengan pembaca-pembaca blog ini terutamanya yang berminat dalam bidang fotografi iaitu berkenaan kepentingan ilmu dalam fotografi. Walaupun sedikit, saya harap ianya dapat membantu anda dalam memahami dan mendalami maksud disebalik artikel ini.

Sama ada kita seorang pemula (beginer) atau sudah lama dalam bidang fotografi, tidak boleh dinafikan bahawa ilmu amat penting dalam setiap langkah pertama yang diambil. Tanpa ilmu, hasil kerja dalam memotrait gambar pastinya tidak sempurna. Sebagai contoh, jurufoto perlu mempertimbangkan komposisi subjek, penggunaan aperture, shuter speed dan ISO yang sesuai. Paling penting, dalam pengawalan kamera adalah cahaya. Ini kerana kamera adalah cahaya dan tanpa cahaya kamera tidak akan berfungsi dengan baik. Pengawalan aperture, shuter speed dan ISO semuanya berkaitan cahaya.

Bagaimanakan untuk mendapatkan gambar yang baik? jawapannya adalah ILMU. Ilmu boleh diperolehi dari pelbagai medium yang sentiasa terdedah kepada kita setiap masa. Media massa, media cetak, internet dan sebagainya adalah sumber-sumber ilmu yang paling senang untuk diperolehi serta percuma. Tapi kata orang, ilmu yang baik adalah ilmu yang diajar terus oleh guru-guru. Bagi yang berkemampuan, medium terbaik untuk mendapatkan ilmu adalah dengan menghadiri kursus-kursus yang semakin banyak dianjurkan oleh otai-otai photographer di Malaysia ini. Tidak rugi melaburkan sedikit wang untuk mendapatkan ilmu. Saya sendiri sebelum betul-betul serius dalam bidang wedding photography ini juga turut menghadiri kursus-kursus fotografi antaranya yang dianjurkan oleh fototeacher.

Banyak perkara baru yang boleh kita belajar dan banyak perkara baru yang boleh kita buat dengan adanya ilmu. Ada juga sahabat-sahabat saya yang tidak pernah pergi kursus-kursus fotografi tetapi boleh sustain dalam bidang fotografi kerana mereka belajar dari pengalaman yang juga merupakan guru yang terbaik. Bak kata sarjana-sarjana dahulukala ilmu tanpa amal, ibarat pohon tidak berbuah. Ilmu bukan sekadar dalam aplikasi teori tetapi juga melalui praktikal. Kesan ilmu akan lebih baik jika ia digilap dengan latihan serta diasimilasikan dengan bakat sedia ada. Bakat boleh digilap tapi ia tetap perlukan ilmu.



Dalam wedding photography, kemahiran mengambil gambar yang cantik semata-mata masih belum mencukupi untuk sustain. Ia perlu ditambah dengan kemahiran pemasaran (marketing). PR perlu bagus serta perlu sentiasa rajin untuk membuat marketing. Hasil kerja yang baik akan menjadi buah mulut pelanggan dan cara kita tackle pelanggan juga harus diambilkira. Semuanya memerlukan ilmu bukan? Jadi jelas dan nyata bahawa ilmu amat penting dalam bidang fotografi disamping kesungguhan dan minat yang mendalam. Berusaha untuk memajukan diri sendiri. Jangan asyik melihat kelemahan orang tanpa melihat kekurangan diri. Belajar untuk menerima teguran dan memperbaiki kelemahan.

Kurniaan Terindah



Alhamdulillah, berkat keizinan dan Kuasa Allah S.W.T, Ameera Raisya dilahirkan tepat jam 4.37 petang pada 12 Ogos 2012. Syukur kehadrat Ilahi, Ameera Raisya dan Umienya selamat dan sihat. Detik yang sangat membahagiakan bagi insan yang pertama kali bergelar ayah. Tidak terungkap dengan kata-kata akan perasaan yang sungguh indah itu.

Ameera Raisya nama yang saya sendiri memilih dan memberikan kepada puteri sulong kami. Ameera bermaksud Puteri manakala Raisya bermaksud Pemimpin Raja. Nama tersebut diberi sempena kesinambungannya dengan maksud nama saya sendiri Abdul Malek (Hamba Raja Yang Memiliki). Juga mengambil nama pangkal  saya ‘A’ dan nama pangkal isteri ‘R’ maka terlahirkan nama Ameera Raisya.

Terima Kasih Ya Allah.

Wednesday 8 August 2012

Salam Perkenalan


Alhamdulillah, akhirnya saya disini. Syukur kerana telah 2 tahun berkecimpung dalam dunia fotografi ini. Berkat dorongan dan semangat sekeliling, saya masih bertahan dalam industri ini biarpun hanya sebagai jurufoto sambilan. Saya anggap saya masih mentah dalam bidang ini dan masih banyak yang perlu saya pelajari.

Pelbagai kenangan telah saya alami sepanjang penglibatan saya dalam dunia fotografi. Bermula hanya dengan kamera pinjam, akhirnya saya bertekad untuk terus kekal dalam industri ini biarpun pada awalnya mendapat tentangan dari pelbagai pihak dengan pandangan sinis dan pendapat yang meruntuhkan motivasi. Namun minat yang mendalam dalam bidang ini mengatasi segala sehinggalah bidang ini membuahkan pendapatan sampingan yang lumayan serta memberikan keseronokan dalam bekerja.

Bermula dengan pengalaman kosong, saya bina keyakinan dengan menghadiri kelas-kelas fotografi, merujuk sahabat-sahabat serta merujuk majalah-majalah dan media yang lain. Kata orang, sejuta langkah bermula dengan langkah pertama. Untuk permulaan, jangan pernah berfikir untuk 'sayangkan' duit bagi menimba ilmu, kerana ilmu yang berguna mampu memberi pulangan semula kepada kita.

Berkat kesabaran dan usaha yang tak pernah henti, sehingga kini saya telah dijemput oleh lebih 15 pasangan pengantin untuk menjadi jurufoto perkahwinan mereka. Mungkin jumlah tersebut pada sesetengah orang adalah sedikit, tetapi bagi jurufoto sambilan macam saya, ianya merupakan satu pencapaian dalam karear. Penumpuan saya adalah pada kualiti dan bukan kuantiti. Saya akui, permulaan dalam bidang ini, hasil seni saya tidak lah begitu memuaskan, namun kemahiran itu saya gilap sedikit demi sedikit bagi memberikan kepuasan maksimum kepada pelanggan.

Pada saya, tak perlu fikirkan sangat apa yang kita ada, tetapi fikirkan apa yang kita boleh buat dengan apa yang kita ada. Dengan peralatan yang minimum, hasil seni yang baik juga mampu diwujudkan. Hanya seni kreatif dalam diri yang perlu digilap. Hingga setakat ini sahaja untuk pertemuan pertama ini. Semoga berjumpa lagi. 

Tuesday 7 August 2012

Sejarah Ringkas Fotografi


Oleh: Hasnudin Abu Samah (Fototeacher)

Adalah penting untuk kita mengetahui sedikit sejarah mengenai fotografi agar kita lebih menghargai dan memahami asas mengenai bidang ini.
Pada zaman awal fotografi, manusia lebih memberi tumpuan kepada proses penciptaan kamera itu sendiri. Berbagai proses telah dicipta dan diperkenalkan. Ciptaan-ciptaan awal ini mempunyai berbagai kelemahan yang kemudiannya sentiasa diperbaiki oleh ciptaan-ciptaan lain yang lebih baik.
Setelah beberapa lama, apabila kamera menjadi semakin mudah digunakan dan menghasilkan kualiti yang lebih baik, dunia fotografi terus berkembang dengan lahirnya jurufoto-jurufoto yang menggunakan kamera sebagai alat untuk berkarya. Fotografi juga telah berkembang menjadi satu bentuk media visual yang mempunyai nilai seni yang tersendiri. Ianya juga turut memberi faedah yang besar dalam berbagai bidang seperti kewartawanan, pengiklanan, perubatan, pendidikan, pemetaan dan sebagainya.
Penciptaan Kamera
Siapakah yang mencipta kamera? Sebenarnya, penciptaan kamera tidak dilakukan oleh seorang individu sahaja. Proses penciptaan kamera ini berlaku secara beransur-ansur selama ratusan tahun melibatkan berbagai pengetahuan dalam ilmu fizik, kimia dan optik. Beberapa orang individu penting telah mencipta beberapa perkara yang akhirnya menyumbang kepada terciptanya kamera pertama yang boleh merakam imej kekal.
Manusia telah lama mengetahui prinsip asas berkaitan fotografi, iaitu sekitar tahun 300 sebelum masihi dimana Aristotle (ahli falsafah Greek) telah menulis mengenai fenomena pembentukan imej yang merupakan asas kepada fungsi sebuah kamera. Pada sekitar abad yang sama, Mo Ti (ahli falsafah Cina) telah mencipta sebuah alat yang berfungsi sebagai sebuah kamera yang ringkas. Tetapi, kamera ini tidak boleh merakam gambar.
Seorang lagi tokoh penting yang menyumbang ke arah penciptaan kamera ialah Ibn Al-Haytham (Dunia Barat mengenalinya sebagai Alhazen). Beliau adalah seorang saintis muslim yang dianggap sebagai Bapa Optik Moden dan jasanya diiktiraf oleh sarjana Barat. Pada sekitar tahun 1000 masehi, Ibn Al-Haytham telah membina camera obscura dan telah menerangkan secara saintifik mengenai camera obscura, sifat cahaya dan beberapa perkara mengenai optik. Hasil kajian dan penemuan oleh Ibn Al-Haytham dikembangkan lagi oleh saintis barat selepas itu.
Pada zaman awal ini, kamera yang dicipta tidak boleh digunakan untuk merakam imej secara kekal. Kamera yang dikenali sebagai camera obscura ini cuma boleh memaparkan imej yang hanya boleh dilihat sahaja. Selepas beberapa lama, kamera ini diperbaiki lagi lalu membolehkan imej yang dilihat itu boleh ditekap bagi dijadikan lukisan.
Perkataan camera obscura adalah perkataan yang berasal dari Bahasa Latin dimana ‘camera’ bermaksud bilik dan ‘obscura’ bermaksud gelap. Oleh itu, camera obscura bermaksud bilik gelap. Memang pada asalnya, kamera adalah merupakan sebuah bilik yang tertutup dan gelap. Satu lubang kecil akan dibuat pada satu dinding di bilik tersebut bagi membolehkan cahaya masuk. Cahaya yang masuk melalui lubang kecil ini akan membentukkan imej pada satu permukaan yang bertentangan di dalam bilik ini. Kamera yang bersaiz sebuah bilik ini kemudian telah dikecilkan saiznya sehingga ia menjadi mudah alih. Camera obscura seterusnya menjadi semakin popular apabila ianya dijadikan dalam bentuk kotak yang dibuat dari kayu dan bersaiz lebih kecil.
Camera obscura yang telah diperbaiki – bersaiz lebih kecil dan mudah alih. Alat ini digunakan untuk menekap imej yang dihasilkan untuk dijadikan lukisan. Sumber foto dari Wikimedia Commons
Penciptaan Kaedah untuk Merakam Imej Foto Kekal
Untuk mencipta sebuah kamera adalah tidak begitu sukar. Apa yang lebih sukar adalah untuk merakam imej secara kekal. Pada sekitar tahun 1800, Thomas Wedgewood telah berjaya merakam gambar foto, tetapi gambar tersebut tidak kekal. Foto yang dirakam hanya bertahan selama beberapa saat sahaja sebelum ianya pudar dan terus lenyap.
Setelah lebih dari 800 tahun sejak wujudnya camera obscura, manusia masih belum boleh merakam foto yang kekal. Akhirnya, pada tahun 1826(1), Nicephore Niepce telah berjaya merakam foto alam semulajadi(1) yang pertama di dunia secara kekal! Untuk mendapatkan foto ini, Niepce telah menggunakan proses yang diberi nama Heliograph dan telah membuat dedahan cahaya selama 8 jam untuk merakam imej (kamera sekarang boleh merakam foto dengan dedahan cahaya hanya selama 1/125 saat atau lebih cepat)
Huraian: (1) Di bahagian belakang foto ini tertera tulisan tahun 1827. Ada pendapat yang mengatakan foto ini dirakam pada tahun tersebut. Ada pula pendapat lain mengatakan, tahun 1827 yang ditulis di bahagian belakang foto itu adalah tahun dimana Niepce menghadiahkan foto itu kepada rakannya, tetapi foto ini sebenarnya dirakam pada tahun 1826. (2) Foto yang lebih awal sebenarnya telah dihasilkan pada tahun 1822 dari objek bukan alam semulajadi, iaitu foto salinan dari lithograph (litograph ialah sejenis teknik cetakan menggunakan goresan) Sumber rujukan: Harry Ransom Center, University of Texas at Austin
Foto yang diberi nama ‘View from the Window’ ini telah dikenali sebagai foto kekal yang pertama di dunia yang telah dirakam oleh Nicephore Niepce di rumahnya di Perancis. Sumber foto dari Wikimedia Commons
Pada tahun 1837, Louis Daguerre telah menunjukkan proses yang dikenali dengan nama Daguerreotype dimana foto boleh dirakam dengan dedahan yang lebih pendek iaitu kurang dari 30 minit. Proses Daguerreotype ini boleh menghasilkan foto yang cantik dan merupakan satu proses yang popular di seluruh dunia pada zaman itu.
Kamera yang digunakan untuk menghasilkan foto dengan proses Daguerreotype. Foto oleh Liudmila & Nelson, Wikimedia Commons
Pada tahun 1839, satu lagi penemuan besar dalam fotografi telah dibuat oleh William Henry Fox Talbot. Beliau telah mencipta satu proses yang dinamakan Calotype dimana proses ini boleh menghasilkan imej negatif. Imej negatif ini boleh digunakan untuk mencetak semula imej-imej positif. Ini bermaksud, foto yang dirakam boleh dicetak semula sebanyak mana yang dikehendaki. Proses Calotype ini telah memberi idea asas kepada proses negatif-positif yang telah digunakan secara meluas dalam era fotografi analog selama lebih dari 100 tahun selepas itu.
Selepas proses Calotype diperkenalkan, ada banyak lagi proses lain telah dicipta – antaranya ialah Wet Plate Collodion, Ambrotype (Collodion Positive), Tintype, Cyanotype dan beberapa proses lagi. Namun, kesemua proses ini masih tidak cukup sempurna dan ianya tidak begitu mesra pengguna. Kamera yang digunakan bersaiz besar dan berat. Proses menghasilkan foto juga adalah remeh dan memakan masa.
Sehinggalah pada tahun 1888, George Eastman menerusi syarikatnya Kodak telah mengeluarkan kamera yang lebih mesra pengguna. Kamera yang diberi nama Kodak No. 1 ini dikilangkan secara besar-besaran untuk kegunaan orang ramai. Kamera ini menggunakan filem negatif dan boleh merakam sehingga 100 keping foto untuk setiap kali isian.
Kamera Kodak No. 2A (Brownie) yang telah diperbaharui dari kamera sebelumnya, iaitu Kodak No. 1. Penghasilan kamera jenis ini telah menjadikan fotografi lebih popular di kalangan orang awam. Foto oleh John Kratz, Wikimedia Commons
Perkembangan Fotografi Analog
Kodak telah mencetuskan perubahan dimana fotografi boleh dipraktikkan secara lebih meluas terutamanya di kalangan jurufoto amatur. Dari sini, fotografi semakin berkembang dimana kamera semakin mampu dimiliki dan proses merakam gambar menjadi lebih mudah.
Kamera terus menjadi semakin canggih. Secara beransur-ansur, kamera yang beroperasi secara mekanikal diperbaiki dengan penggunaan komponen elektronik. Berbagai kawalan automatik ditambah untuk memudahkan pengguna.
Teknologi fotografi analog (menggunakan filem) digunakan selama lebih dari 100 tahun lamanya. Dalam tempoh ini, bidang fotografi telah menjadi cukup matang, baik dari segi teknologinya mahupun dari segi perkembangan artistiknya.
Kamera Canon New F1, antara kamera analog yang termasyhur di zamannya. Kamera seperti ini banyak digunakan oleh jurufoto profesional pada sekitar tahun 1980an. Foto oleh Richard Hilber, Wikimedia Commons.
Fotografi Digital
Menurut rekod yang sah, kamera digital pertama dicipta pada tahun 1975 oleh Steve Sasson, seorang jurutera Kodak. Kamera ini boleh menangkap gambar menggunakan CCD (Charge-Coupled Device) dengan 10,000 piksel. Namun, fotografi digital juga dikatakan telah mula digunakan oleh NASA (National Aeronautics and Space Adiministration) sejak tahun 1960an lagi untuk menerima isyarat imej digital yang dirakam oleh pesawat di angkasa lepas. Asas kepada fotografi digital ini juga sebenarnya telah wujud sejak tahun 1950an berasaskan dari teknologi kamera video.
Antara kamera digital yang terawal – Kodak DCS 420 yang menggunakan badan kamera analog Nikon F90. Sistem ini mempunyai sensor dengan 1.2 megapixel sahaja dan mula diperkenalkan pada tahun 1994. Sumber foto dari Wikimedia Commons
Apa pun, fotografi digital tidak digunakan oleh orang ramai secara meluas sehinggalah pada sekitar tahun 2002 apabila kamera digital mula dipasarkan secara komersial. Perkembangan teknologi fotografi digital berlaku dengan begitu pesat sejak dari itu. Dengan ini, bermulalah satu era baru dalam sejarah fotografi.
anda tentu juga suka: