Wednesday 8 August 2012

Salam Perkenalan


Alhamdulillah, akhirnya saya disini. Syukur kerana telah 2 tahun berkecimpung dalam dunia fotografi ini. Berkat dorongan dan semangat sekeliling, saya masih bertahan dalam industri ini biarpun hanya sebagai jurufoto sambilan. Saya anggap saya masih mentah dalam bidang ini dan masih banyak yang perlu saya pelajari.

Pelbagai kenangan telah saya alami sepanjang penglibatan saya dalam dunia fotografi. Bermula hanya dengan kamera pinjam, akhirnya saya bertekad untuk terus kekal dalam industri ini biarpun pada awalnya mendapat tentangan dari pelbagai pihak dengan pandangan sinis dan pendapat yang meruntuhkan motivasi. Namun minat yang mendalam dalam bidang ini mengatasi segala sehinggalah bidang ini membuahkan pendapatan sampingan yang lumayan serta memberikan keseronokan dalam bekerja.

Bermula dengan pengalaman kosong, saya bina keyakinan dengan menghadiri kelas-kelas fotografi, merujuk sahabat-sahabat serta merujuk majalah-majalah dan media yang lain. Kata orang, sejuta langkah bermula dengan langkah pertama. Untuk permulaan, jangan pernah berfikir untuk 'sayangkan' duit bagi menimba ilmu, kerana ilmu yang berguna mampu memberi pulangan semula kepada kita.

Berkat kesabaran dan usaha yang tak pernah henti, sehingga kini saya telah dijemput oleh lebih 15 pasangan pengantin untuk menjadi jurufoto perkahwinan mereka. Mungkin jumlah tersebut pada sesetengah orang adalah sedikit, tetapi bagi jurufoto sambilan macam saya, ianya merupakan satu pencapaian dalam karear. Penumpuan saya adalah pada kualiti dan bukan kuantiti. Saya akui, permulaan dalam bidang ini, hasil seni saya tidak lah begitu memuaskan, namun kemahiran itu saya gilap sedikit demi sedikit bagi memberikan kepuasan maksimum kepada pelanggan.

Pada saya, tak perlu fikirkan sangat apa yang kita ada, tetapi fikirkan apa yang kita boleh buat dengan apa yang kita ada. Dengan peralatan yang minimum, hasil seni yang baik juga mampu diwujudkan. Hanya seni kreatif dalam diri yang perlu digilap. Hingga setakat ini sahaja untuk pertemuan pertama ini. Semoga berjumpa lagi. 

No comments:

Post a Comment

anda tentu juga suka: